Cerita memainkan peranan yang penting dalam sesebuah masyarakat. Lazimnya, cerita merupakan penyalur ideologi yang utama dalam masyarakat. Cerita yang dikarang daripada realiti ke dalam fiksyen bertujuan menjana minda pembaca dan melahirkan insan bestari.

Cerita Melayu terutamanya kesasteraan Melayu dapat membangkitkan semangat nasionalisme, mengukuhkan jati diri dan budaya bangsa serta memupuk sikap berdaya saing di kalangan pembaca. Justeru, ibu bapa dan guru haruslah memupuk sikap suka membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi.

Dalam menanam sikap suka membaca di kalangan masyarakat, kerajaan juga mengambil initiatif untuk menyedarkan orang ramai bahawa bangsa membaca merupakan bangsa berjaya. Anak-anak harus memulakan sikap suka membaca dengan meneliti karya-karya sastera yang dihasilkan oleh Munshi Abdullah, Za’ba, A. Samad Said dan Syed Syeikh Al-Hadi.

Tahukah anda bahawa Munshi Abdullah adalah penulis pertama yang digelar Bapa Sastera Melayu Moden? Hasil karya yang dikarangnya dapat membuka minda pembaca kerana mesej yang cuba disampaikan adalah positif dan juga progresif. Munshi Abdullah menggunakan teknik penulisan moden bagi memudahkan pembaca memahami isi tersirat yang cuba disampaikannya.

Kritik berpendapat bahawa penulisan Munshi Abdullah adalah pemberontakan adat dan tradisi lama kerana karyanya bukan berasal daripada cerita dongeng mahupun khayalan. Justeru, bagi anak-anak muda yang ingin menyemarakkan semangat nasionalisme dan menyuburkan jati diri, karya Munshi Abdullah pasti dapat membantu.

Oleh kerana karyanya lain daripada yang lain, hasil penulisan Munshi Abdullah merupakan penulisan Melayu yang pertama dicetak dan diterbitkan. Antara penulisannya yang cukup terkenal termasuklah Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Beliau merupakan salah seorang penulis yang banyak menyumbang dalam sejarah kesasteraan Melayu.

Selain Munshi Abdullah, pendeta Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba juga merupakan salah seorang cendekiawan melayu yang terkenal di rantau ini. Za’ba diberi gelaran ‘pendeta’ atas sumbangannya dalam dunia kesasteraan Melayu. Majlis Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu menghargai sumbangan beliau dalam usahanya menghasilkan pelbagai karya dengan menyampaikan penghargaan tertinggi kepadanya pada tahun 1956.

Selain gelaran pendeta, Za’ba juga dikurniai anugerah lain seperti Darjah Panglima Mangku Negara, Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Persuratan) oleh Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara karya terkenal yang dikarang oleh Za’ba ialah Ilmu Bahasa Melayu, Umbi Kemajuan serta artikelnya yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaya yang berjudul ‘Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling’.

Seorang lagi sasterawan yang terkenal di rantau ini ialah Syed Syeikh Al-Hadi. Beliau pernah menghasilkan karya-karya yang mengetengahkan unsur-unsur keislaman yang bertujuan mendidik anak-anak muda. Juga dikenali sebagai Bapa Novel Melayu, antara karya yang ditulis oleh beliau ialah Hikayat Faridah Hanum dan Hikayat Setia Asyik dengan Masyuknya.

Nama A. Samad Said pasti tidak asing lagi bagi pemuda masa kini kerana karyanya masih lagi terkenal dan boleh didapati di perpustakaan di seluruh negara. Sepanjang kerjayanya sebagai seorang sasterawan dan penulis yang terkenal di Malaysia, antara karya terkenal A. Samad Said ialah Salina, Di Hadapan Pulau, Daun Semalu Pucuk Paku, Warkah Eropha, Suara Dari Dinding Dewan, Daerah Zeni, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri dan Sungai Mengalir Lesu.

Beliau mengukir nama di persada penulisan pada tahun 1985 kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara. Selain itu, A. Samad Said juga pernah menerima anugerah-anugerah lain seperti Anugerah Pejuang Sastera (1976), Anugerah Penulis Asia Tenggara (1979) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).

Selain daripada karya-karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara, masyarakat juga perlu mengenali cerita dongeng dan hikayat Melayu klasik. Salah satu hikayat dan sastera Melayu yang terkenal di kalangan pelajar sekolah ialah hikayat hidup Pak Kadok. Pak Kadok cukup terkenal dalam masyarakat Melayu kerana sifatnya yang lurus bendul.

Oleh kerana sikap Pak Kadok yang lurus bendul, isterinya terpaksa menahan segala perbuatan Kadok yang bukan sahaja menimpa dirinya malah juga seisi keluarga. Antara cerita dan hikayat Pak Kadok yang dikenali ramai ialah legenda ikan tapah serta kisah pertarungan dan persabungan ayam.

Selain Pak Kadok, terdapat juga cerita jenaka lain yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu seperti Pak Belalang, Pak Pandir dan Lebai Malang. Pak Belalang hasil penulisan Raja Haji Yahya yang berasal daripada Perak mengisahkan Pak Belalang yang tua yang terpaksa bergantung kepada kebijaksanaan anaknya dalam menjalani kehidupan.

Sekain daripada cerita jenaka lucu seperti yang tersenarai di atas, masyarakat Melayu juga boleh membaca Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu bagi mempelajari jati diri dan bangsa. Riwayat Hang Tuah yang ditulis oleh Tun Sri Lanang pada abad ke-15 mengisahkan detik-detik kepahlawanan Hang Tuah dengan 4 rakan karibnya – Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Kasturi dan Hang Lekir.

Hikayat terbabit menceritakan pengalaman yang dilalui lima pahlawan di rantau ini pada zaman kegemilangan Melayu Melaka sehingga tumpas di tangan Portugis. Walaupun terdapat unsur fantasi dalam hikayat yang dikarang Tun Sri Lanang, mesej yang cuba disampaikan dapat menaikkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat.

Sungguhpun hikayat terbabit nampak benar, terdapat banyak kritikan terhadap penulisan itu kerana wujudnya unsur tokok-tambah. Justeru, masih ramai yang mempertikaikan kesahihan tentang wujudnya pahlawan Melaka yang berjuang demi negara pada zaman kegemilangan Melayu Melaka.

Bidang penulisan tempatan sentiasa berkembang kerana kekuatan daya kreativiti dan kesungguhan menghasilkan penulisan yang berkualiti. Sejak beberapa dekad yang lalu, kesasteraan tanah air terutama genre cerpen dan novel semakin berkembang.

Sebagai contoh, bakat penulisan Fatimah Busu jelas terlihat dalam cerpennya berjudul lambaian tanah hijau, bunga-bunga pulau, mawar yang belum gugur, sampah yang hanyut, kepulangan, ombak bukan biru dan anak bumi tercinta yang mendapat sokongan ramai.

Natijahnya, memang terdapat banyak karya tempatan yang bermutu tinggi. Oleh sebab itu, masyarakat Malaysia harus menyokong sasterawan seperti yang dibincangkan di atas dan juga penulis-penulis lain seperti Adibah Amin, Shaharom Husain dan Siti Zainon Ismail.